16.

Dari sisi dunia sains yakni dunia mata pencarian saya, saya mempunyai sebilangan kawan-kawan yang menganggap dunia seni atau lebih tepat lagi ‘puisi’ itu sebagai sesuatu yang poyo. Pada mereka, golongan yang gemar berpuisi adalah golongan yang:

  • dalam hati ada taman
  • sentimental tak tentu hala

Puisi adalah untaian kata-kata yang indah, ringkas tetapi padat dan sarat dengan maksud serta sampai terus ke dalam sanubari. Dan tidak semua orang berkebolehan berpuisi. Suatu ketika dahulu, mereka yang berpuisi dipandang tinggi kerana ia sebenarnya mencerminkan kecerdasan fikiran (di samping penguasaan ilmu falsafah).

Ini kerana pemilihan kata-kata yang indah, ringkas dan padat dengan maksud bukanlah mudah dan memerlukan seseorang yang menguasai bahasa dengan baik. Dan ini memerlukan ketajaman akal serta pengamatan yang bersifat kritikal. Lantaran itu orang Melayu dahulu kala jiwanya seni, bahasa dan budaya halus serta tinggi nilainya; hasil pengamatan yang tinggi pada alam sekeliling. Hanya di zaman sekarang dunia seni dan sastera dipandang lekeh dan dilabelkan lebih sesuai untuk golongan kedua iaitu mereka yang tidak menguasai subjek-subjek sains.

Ironinya mereka yang melontarkan tuduhan ke atas dunia puisi ini malah tidak tahu pun perihal yang saya sebutkan di atas. Punca dari sikap malas membaca perkara di luar bidang keahlian dan merasakan penguasaan subjek-subjek sains lebih penting dan bernilai. Saya katakan mereka kurang membaca kerana TIDAK ada di kalangan kawan-kawan saya yang candu membaca buku aneka genre tiba-tiba menjelma menjadi seorang yang anti puisi. Tidak sukakan puisi tak mengapa, tetapi tak payahlah sampai menuduh itu dan ini terhadap golongan yang lebih halus nuraninya. Bilangan mereka ini sebenarnya tidak ramai tapi entah apa sebabnya saya ditakdirkan berdamping dengan mereka.

Selagi boleh, saya cuba bersabar dengan berdiam diri terhadap mereka ini yang menurut saya ignorant dengan parahnya. Maklum, kawan katakan. Tetapi ada masa-masanya kesabaran saya mencecah batas, lalu terkeluarlah kata-kata dari mulut saya yang agak memedihkan rasa.

Padan muka.

Advertisements