22.

Ada banyak perkara di dalam hidup yang kita tak sedar sebenarnya sangat signifikan dan membentuk diri kita selama ini.

Laut misalnya.

Sejak kecil, aku membesar di Sandakan yang akses ke laut terlalu mudah. Hampir setiap petang Mak dan Abah bawa ke tepi laut untuk menyuap makanan ke mulut aku. Sebab masa kecil aku tak suka makan.

Berhijrah ke Kota Kinabalu seawal usia 15 tahun untuk ke SBP, laut bukanlah perkara yang asing. Masuk UKM, aku mula kehilangan laut. Di luar sedar, aku sebenarnya rindukan laut. Aroma. Desir ombak. 

Aku kembali ke Kota Kinabalu pada tahun 2003. Waktu ini, laut menjadi sebuah entiti besar di dalam hidup aku. Pejabat malah menghadap laut. Di sini aku mengabaikan keindahan matahari terbenam yang dapat aku saksikan saban hari. 

2008 sehingga 2013 merupakan tahun-tahun di mana aku tersiksa dengan ketiadaan laut. Birmingham yang terletak di tengah-tengah UK tidak memungkinkan untuk aku kembali mendapat nikmat yang satu ini. Kecuali di penghujung 2012 sehingga awal 2013, aku berpindah ke Isle of Anglesey, barulah aku temui semula laut. 

Awal 2014, aku membuat keputusan untuk meneroka dasar laut. Antara keputusan yang paling signifikan yang pernah aku buat. 

Akhirnya aku jatuh cinta. Jatuh cinta kepada laut yang menemani aku sejak kecil, muncul-hilang di dalam fasa hidup. Berkali-kali.

Advertisements