68.

Cara-cara untuk ke Belitong pulau Laskar Pelangi dari KL:
  1. Menaiki pesawat terus dari Kuala Lumpur-Jakarta-Tanjung Pandan, Belitong. Setiap hari ada penerbangan dari Jakarta ke Tanjung Pandan, Pulau Belitong oleh beberapa syarikat pesawat seperti Garuda Air, Sriwijaya Air, Lion Air atau City Link (anak syarikat Garuda Air). Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam. Tiket penerbangan boleh dibeli melalui Tiket.com.
  2. Dari Jakarta ke Pangkal Pinang di Pulau Bangka dengan pesawat, dan kemudian menaiki jetfoil KM Bahari Ekspress ke Pulau Belitong. Kepulauan Bangka-Belitong yang terletak bersebelahan menyebabkan kedua-dua pulau ini turut digelar Kepulauan Babel. Kapal Bangka-Belitong hanya ada 3 kali seminggu. Perjalanan merentas Laut Cina Selatan mengambil masa 4-5 jam.
Pilihan #1 adalah pilihan terbaik, paling mudah dan sering menjadi pilihan golongan manusia waras. Malah tidak terdapat perbezaan yang jauh di antara harga tiket pesawat dan tiket kapal. Justeru itu, silalah berfikir panjang dan jika perlu solat istikharah di kaunter tiket kalau mahu memilih pilihan #2.

Untuk trip yang lepas, saya bersama teman dari Jakarta memilih pilihan yang #2. Ini kerana kami secara semulajadi memang kecanduan dengan kerja-kerja gila. Kapal yang kami naiki dilambung ombak Laut Cina Selatan setinggi 3 hingga 5 meter. Kami yang duduk di dek kapal basah disiram air asin laut. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa maksimum 5 jam, bertambah menjadi hampir 6 jam. Disebabkan saya tidak berkerjaya sebagai seorang nelayan ataupun tentera laut, maka perjalanan ini dirasakan sungguh hazab sekali. Tapi hakak maintain macho tak muntah atau mabuk laut. Meskipun jauh di dalam hati jenuh memaki hamun diri sendiri. Walau bagaimanapun, pemandangan matahari terbenamnya agak lumayan.

Matahari yang hampir terbenam di Laut Cina Selatan.

Tempat Penginapan
Terdapat banyak tempat penginapan di Belitong. Yang membezakan hanyalah kemampuan membayarnya sahaja. Bagi yang tidak cerewet dan hanya mahukan hotel yang murah, bersih, selesa dan selamat – saya mencadangkan Hotel Suria yang terletak di tengah kota Tanjung Pandan. Bilik kami adalah yang paling basic – hanya ada kipas, kerusi, meja dan tempat menyangkut tuala. Tandas/kamar mandi terletak di luar dan dikongsi bersama penghuni hotel yang lain. Harganya lumayan murah – cuma Rp 100,000 satu malam (seorang Rp 50,000 – sekitar RM15). Ia juga terletak berhampiran dengan Pantai Tanjung Pendam (boleh jalan kaki) yang sering dikunjungi oleh penduduk tempatan di waktu petang untuk melihat pemandangan matahari terbenam.

Tanjung Pendam, Belitong.

Pengangkutan awam
Satu-satunya pengangkutan awam di Pulau Belitong adalah teksi. Jika mahu jimat, perlulah menyewa kereta/motorsikal untuk ke mana-mana. Sewa kereta lebih kurang Rp 400,000 sehari. Sewa motorsikal sekitar Rp 70,000 sehari.

Aktiviti
Trip saya bersama teman ke Belitong adalah spontan dan langsung tidak dirancang terlebih dahulu. Malah tempat-tempat yang kami kunjungi 100% atas saranan penduduk tempatan. Kebiasaannya aktiviti di Pulau Belitong adalah:
  • Makan mi belitong Atep – signature dish pulau ini, selain pempek, gangan, kerupuk ikan dan sebagainya.

Mi Belitong

  • Island hopping – sewa kapal nelayan biasanya sekitar Rp 500,000. Justeru, lebih ramai anggota rombongan, lebih murah. Pulau-pulau yang dikunjungi adalah seperti Pulau Lengkuas, Pulau Kepayang (turtle conservation area), Pulau Pasir.

Untuk island hopping, tempat bertolak adalah dari Tanjung Kelayang yang terletak kira-kira 20km dari Tanjung Pandan.

  • Snorkelling/scuba diving – terumbu karang Pulau Lengkuas adalah antara yang paling cantik yang pernah saya lihat. Visibility was excellent – between 10-15m. Peralatan snorkel biasanya boleh disewa sekaligus dengan kapal. Aktiviti scuba diving perlu dibuat secara berasingan melalui hotel yang ada menawarkan. Harga sekitar Rp 1.5-2.5 juta – tak pasti untuk berapa dives.
  • Lawatan ke Gantong – nama Pulau Belitong mula terkenal melalui buku dan filem Laskar Pelangi hasil karya Andrea Hirata. Kunjungan tidak lengkap tanpa melawat replika SD Muhammadiyah dan Museum Kata Andrea Hirata di Gantong (berhampiran Manggar). Museum Kata merupakan muzium literatur Indonesia yang pertama.

Replika SD Muhammadiyah di Lenggang, Gantong.

  • Lawatan ke Manggar – Pulau Belitong terkenal dengan kopinya, khususnya di Manggar. Manggar terletak kira-kira 80 km dari Tanjung Pandan. Di sini juga letaknya Toko Sinar Harapan di dalam filem Laskar Pelangi – tempat di mana Ikal pertama kali jatuh hati dengan A Ling.

Dikatakan di toko inilah Ikal pertama kali jatuh hati dengan kuku-kuku A Ling sewaktu membeli kapur tulis buat kegunaan kelasnya di SD Muhammadiyah, Gantong.

  • Pantai Tanjung Tinggi – salah sebuah kawasan pantai indah yang juga terdapat di dalam filem Laskar Pelangi.
  • Rumah Adat dan muzium Belitong.
  • Danau Biru – tasik buatan hasil galian kaolin.
Advertisements